Nuffnang Ads

Merarik di Apesal.com

‘LOOKING BACK’ 2011: SOROTAN PERISTIWA SUKA & DUKA 2011

Lebih kurang 8 atau 9 hari lagi 2011 akan melabuhkan tirainya dan jendela 2012 akan dibuka. Pelbagai peristiwa bakal dicoretkan pada tahun 2012 ini. Tetapi 2011 masih lagi memberikan pelbagai suka dan duka bagi sesetengah individu mahupun dunia.
Tahun 2011 diisi dengan kisah suka duka dunia sukan, politik serta pelbagai lagi. Awal tahun lagi dunia dikejutkan dengan krisis Mesir. Diikuti dengan sorotan kisah gempa bumi Jepun.
KRISIS MESIR, KEJATUHAN HOSNI MUBARAK
25 Januari 2011 merupakan titik permulaan kepada krisis Mesir apabila protes jalanan membantah pemerintahan Presiden yang telah memimpin lebih 30 tahun itu. Kemudian selepas pertembungan tentera dengan penunjuk perasaan yang meragut 850 nyawa, Hosni Mubarak meletak jawatan pada 11 Februari, 18 hari selepas protes jalanan  merusuh. Kini, Beliau serta anak dan beberapa Menteri Kabinet didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah. Tentera mengambil alih kuasa dan pusingan pertama pilihan raya akhir November lalu menyaksikan Ikhwanul Muslimin yang lebih 30 tahun diharamkan di bawah kepimpinan Hosni menang 36 daripada 54 kerusi dipertandingkan.
GEMPA BUMI, TSUNAMI MELANDA JEPUN
Belum reda dengan krisis yang berlaku di serata dunia, dunia dikejutkan dengan bencana gempa bumi diikuti dengan tsunami yang melanda Jepun atau lebih tepat di Wilayah Fukushima 11 Mac lalu. Dengan kekuatan gegaran 9.1 magnitud pada skala richter itu sudah cukup untuk membunuh 20,000 penduduk disepanjang timur laut Negara itu. Belum reda dengan trauma gempa bumi serta tsunami, Jepun terpaksa berhadapan risiko kebocoran radiasi akibat daripada kebocoran Logi janakuasa nuklear Fukishima Dai-ichi milik Jepun yang terletak di timur laut Tokyo. Namun begitu, Jepun tenang menghadapi bencana alam itu dan perlahan-lahan bangkit membina semula Negara Matahari Terbit itu. Namun kebimbangan tercetus kembali apabila kira-kira 1.8 tan air yang dicemari bahan radioaktif mengalir keluar dari system penyejukan logi nuklear tersebut.
‘WEDDING OF THE YEAR’, PUTERA WILLIAM, KATE MIDDLETON
Dengan jolokan ‘Wedding of the year’, perkahwinan gilang gemilang pasangan Putera William dari Britain dan Kate Middleton atau nama sebenarnya Catherine Middleton selamat dilangsungkan di Westminster Abbey pada 29 April dalam upacara penuh istiadat diraja yang menarik tumpuan lebih 2.4 bilion penonton diseluruh dunia. Middleton, 29, rakyat biasa yang berkahwin dngan pewaris takhta dalam tempoh 350 tahun, melafazkan ikrar setianya didepan 1,900 tetamu termasuk bekas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan bekas Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah. Berita gembira buat dunia apabila kini Kate dilaporkan hamil enam minggu mengikut sumber Istana seperti dilaporkan majalah In Touch.
KEMATIAN OSAMA BIN LADEN, MUAMMAR GADAFFI
Dua nama yang memang tidak disenangi Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS). Kematian pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, dilaporkan pada 2 Mei lalu dikatakan didalangi pasukan khas AS yang melancarkan serangan ke atas kubu kuat tokoh itu di Abbottabad, Pakistan. Ia dilihat sebagai satu kejayaan besar bagi AS bagi memerangi pengganas susulan kejadian 11 September (9/11). Bekas pemimpin Libya yang lantang mengkritik AS, Muammar Gadaffi dibunuh selepas pertembungan dengan majlis peralihan di Sirte, 20 Oktober lalu. Turut terbunuh dalam kejadian itu ialah anak lelakinya, Mo’tassim. Dengan berlakunya peristiwa ini, membuatkan hubungan antara AS dan Pakistan bertambah tegang sejak sekutunya melancarkan serangan sehingga terbunuhnya Osama bin Laden. Keadaan bertambah teruk apabila Washington menuduh Perisik Pakistan terbabit dalam serangan keatas kedutaan AS di Kabul, September lalu.
KEHILANGAN BESAR DUNIA MEDIA, NORAMFAIZUL, KEBANGKITAN HARIMAU MALAYA
Turut mencuri perhatian dunia adalah kisah kematian jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, yang terkorban selepas terkena tembakan curi ketika mengikuti misi kemanusiaandi Somalia, 5 September lalu. Kejadian ini dilaporkan akhbar utama antarabangsa, malah mendapat reaksi pertubuhan wartawan dan media global.
Imej MALAYSIA dalam kalangan negara serantau juga diangkat melalui reputasi cemerlang Skuad Bola Sepak. Semangat juang tinggi dipamerkan ketika menentang kelab elit Eropah seperti Chelsea, Liverpool dan Arsenal merangsang kebangkitan rakyat terhadap sukan ini. Kejayaan skuad Harimau Malaya bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal dan Ong Kim Swee ini menjuarai Piala Suzuki AFF menyaksikan populariti bola sepak negara kian meniti puncak, ditambah pula kemenangan skuad Harimau Muda  mempertahankan pingat emas bola sepak Sukan SEA di Jakarta, bulan lalu. Nama seperti Safee Sali, Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat meniti di bibir kebanyakan peminat tempatan dan antarabangsa. Malah, Safee digelar Beckham Malaysia oleh media Wales ketika menjalani ujian bersama kelab Cardiff City di negara itu, yang kemudiannya turut dituruti oleh Safiq Rahim.
BANJIR BESAR BANGKOK
Enam daerah di bangkok tenggelam hampir tiga bulan bermula September. Bencana bukan saja melumpuhkan operasi bandaraya Bankok, malah menjejaskankehidupan sembilan juta penduduknya serta mengorbankan kira-kira 350  nyawa. Ia banjir terbesar dalam sejarah Negara Gajah Putih itu sejak 1942 dan menyebabkan 10,000 kilang terpaksa menutup operasi, 660,00 rakyatnya berdepan risiko kehilangan pekerjaan dan kerosakan harta benda bernilai sehingga AS$4.6 billion (RM 14.65 billion), selain menjejaskan rantaian bekalan beras serta komponen kenderaan antarabangsa.
DALAM KENANGAN, STEVE JOBS, IN MEMORY
Pelopor inovasi Teknologi Elektronik dan Komunikasi terhebat ini menghembuskan nafas terakhirnya pagi 6 Oktober lalu pada usia 56 tahun selepas bertarung dengan barah pankreas. Jobs, mengemudi Apple menjadi syarikat gergasi ulung mengeluarkan pelbagai peranti canggih daripada komputer peribadi kepada iPod dan iPhone. Lagasi Jobs diteruskan Apple di bawah teraju Tim Cook dengan pelan empat tahun yang diatur lagenda gajet itu sebelum kematiannya. Antara pelan itu adalah pembinan pejabat baru Apple, perkhidmatan perkomputeran awam atau public computing service, iPhone serta iPad baru.

PENDUDUK BUMI KETUJUH BILLION
Bayi perempuan, Danica May Camacho diisytiharkan penduduk bumi yang ke tujuh billion, Oktober lalu seperti yang diumumkan PBB. Organisasi itu turut mengisytiharkan China terus menjadi negara paling ramai penduduk dengan populasi sebanyak 1.34 billion orang. Reputasi China sebagai negara dengan populasi terbesar dunia sejak sekian lama bakal dicabar. PBB meramalkan dalam tempoh empat dekad lagi, India akan mengambil alih status itu dengan jumlahkeseluruhan penduduk dunia dijangka mencapai 8 billion pada 2025 dan 10 billion sebelum abad ini berakhir.
Disertakan Video Sorotan Peristiwa Dunia 2011


Sumber : Rona Berita Minggu

0 comment(s):

Post a Comment

Komen dan tinggalkan jejak kat sini, nnt saya singgah. :)