Nuffnang Ads

Merarik di Apesal.com

'Design' / Rekabentuk Wang Kertas/Polimer Malaysia Siri baru

Sepertimana yang kita ketahui, Bank Negara Malaysia (BNM) / Central Bank of Malaysia telah memperkenalkan Wang Kertas Malaysia Siri Baru yang lebih bercirikan Malaysia. Wang kertas siri keempat ini akan mula berada dalam edaran pada suku kedua tahun 2012.

Keunikan Malaysia
Wang Kertas Malaysia Siri Baharu
Ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan serta keindahan alam semula jadi negara menjadi sumber inspirasi dalam reka bentuk wang kertas Malaysia siri terbaharu ini. Dengan tema 'Keunikan Malaysia', siri keempat wang kertas Malaysia ini memaparkan ekspresi tradisional berilhamkan seni dan kraf tangan, keajaiban alam semula jadi, flora dan fauna, ekonomi dan tradisi.

Ciri-ciri Am
Pada bahagian hadapan semua denominasi wang kertas, telah dikekalkan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad, bunga kebangsaan iaitu bunga raya Rosa-sinensis (dikenali sebagai Bunga Raya dalam kalangan penduduk tempatan) dan corak songket kain tenunan tradisional. Bahagian belakang setiap denominasi wang kertas memaparkan ciri-ciri alam semula jadi, tradisi, budaya, flora, fauna dan ekonomi yang khusus bagi Malaysia.

Spesifikasi Teknikal
DenominasiSubstratUkuranWarna
RM100Kertas150mm X 69mmUngu
RM50Kertas145mm X 69mmHijau-biru
RM20Kertas145mm X 65mmJingga
RM10Kertas140mm X 65mmMerah
RM5Polimer135mm X 65mmHijau
RM1Polimer120mm X 65mmBiru
 
Wang kertas RM100
Keajaiban Alam Semula Jadi

Dua keajaiban alam semula jadi terkemuka negara yang diisytiharkan sebagai 'Tapak Warisan Dunia' oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipaparkan pada wang kertas RM100. Keajaiban alam semula jadi yang mengagumkan ini ialah Taman Kinabalu di Sabah, dengan Gunung Kinabalu yang hebat dan agung (iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara) dan pembentukan batu mercu batu kapur yang menakjubkan di lembah Gunung Api, yang ditemui di Taman Negara Mulu di Sarawak. Kedua-duanya adalah antara keajaiban alam semula jadi di Malaysia yang memberi pengunjungnya satu pengalaman yang unik. 

Wang kertas RM50
Pertanian dan Teknologi

Kelapa sawit dan bioteknologi dipaparkan pada wang kertas RM50 sebagai ikon ekonomi Malaysia yang berkembang maju. Kelapa sawit telah menjadi tanaman pertanian negara yang paling utama dari segi ekonomi kerana Malaysia merupakan salah satu pengeluar dan pengeksport terbesar kelapa sawit di dunia. Bioteknologi terus meningkatkan kedudukan komoditi ini dalam rantaian nilai, menyokong transformasi ekonomi negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dalam sektor pertanian, perkilangan dan perkhidmatan. Minyak sawit mentah juga digunakan sebagai komoditi dasar bagi memudahkan pembiayaan secara Islam.

Wang kertas RM20
Hidupan Laut

Dua spesies penyu terkenal dan hanya dijumpai di perairan Malaysia iaitu Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan Penyu Belimbing (Dermochelys coriacea), yang juga merupakan lambang hidupan laut yang pelbagai dan berwarna-warni di perairan tropika kita, dipaparkan pada wang kertas RM20 baharu. Penyu Karah mudah dikenali melalui muncungnya yang melengkung dan kulitnya yang bersisik manakala Penyu Belimbing pula mempunyai kulit yang keras dan tujuh jaluran pada cangkerangnya. Kewujudan penyu-penyu ini memberi peringatan bahawa kehidupan mereka bergantung pada imbangan aktiviti manusia dan pemuliharaan hidupan laut yang perlu dikendalikan dengan bijaksana.

Wang kertas RM10
Flora

Hutan tropika Malaysia yang tumbuh subur, iaitu salah satu hutan hujan tertua di dunia, mempunyai berjenis-jenis pokok berbunga dan antara yang paling ikonik ialah bunga yang terbesar di dunia iaitu Rafflesia. Spesies Rafflesia Azlanii yang dipaparkan pada wang kertas RM10 baharu ini merupakan spesies asli Semenanjung Malaysia dan mula-mula sekali ditemui di Hutan Simpan Royal Belum di negeri Perak pada tahun 2003. Bagi memperingati penemuan ini, bunga yang mengagumkan ini dinamakan sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah.
Wang polimer RM5
Hidupan Liar
Burung Enggang Badak (Buceros rhinoceros), iaitu salah satu spesies burung enggang terbesar dan paling mengagumkan di dunia, dipaparkan pada wang kertas polimer RM5 baharu. Burung hutan yang menarik, bersayap lebar dan berekor panjang yang boleh ditemui dalam kelompok kecil di hutan hujan di seluruh negara ini memainkan peranan penting dalam budaya dan upacara tradisional negeri Sarawak yang turut dikenali sebagai 'Bumi Kenyalang'. Burung enggang juga melambangkan simbol kekuatan dan keberanian bagi masyarakat asli Sarawak.

Wang polimer RM1
Sukan Tradisional

Permainan wau merupakan sukan tradisional yang popular di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Permainan wau juga secara tradisinya merupakan suatu acara untuk meraikan hasil tuaian yang baik yang merapatkan masyarakat tempatan negeri-negeri tersebut. Wau Bulan adalah antara wau Malaysia yang terkenal dan paling ikonik, dan dipaparkan pada wang polimer RM1 baharu. Wau Bulan buatan tangan, yang diperbuat daripada buluh dan kertas, juga menjadi barang hiasan popular yang menghiasi rumah-rumah di Malaysia.

Wang Kertas Peringatan
Wang kertas peringatan siri keempat ini boleh dibeli dalam jenis dan pada harga seperti yang berikut:

Jenis/DenominasiKuantitiHarga satu set
Set Penuh (RM1, RM5, RM10, RM20, RM50, RM100)50,000RM300
Set dalam 1 (RM20)500,000RM30
Set dalam 2 (RM1 dan RM5)500,000RM15
Orang ramai boleh membeli wang kertas peringatan di kaunter mulai Khamis, 22 Disember 2011 di:
  1. BNMLINK (Laman Informasi Nasihat & Khidmat)
    Tingkat Bawah, Blok D
    Bank Negara Malaysia
    Jalan Dato' Onn
    50480 Kuala Lumpur, Malaysia

    No. Telefon : +603 2698 8044 / 9044 (Sambungan: 7417 / 7390)
    Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
  2. Pejabat Wilayah Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
  3. Cawangan Bank Negara Malaysia di Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.

0 comment(s):

Post a Comment

Komen dan tinggalkan jejak kat sini, nnt saya singgah. :)